SEREMBAN : Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, Khamis atas tuduhan sengaja mengadakan hubungan seks yang bertentangan dengan peraturan tabii terhadap dua anak perempuannya di rumah mereka, di Kampung Labu, dekat sini antara 2007 hingga tahun lepas.
Ahmad Dzulkipli, 30, dituduh menggunakan kekerasan bagi melakukan perbuatan itu terhadap anak perempuannya berusia tujuh tahun pada tahun 2007 sehingga 2011 di dalam sebuah bilik tidur di rumahnya di Kampung Labu, dekat sini.
Dia turut dituduh melakukan perbuatan sama ke atas seorang lagi anak perempuannya yang berusia enam tahun, di lokasi sama tetapi pada masa dan tarikh tidak diketahui.
Bagi kedua-dua pertuduhan ini tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Majistret Haslina Basarudin membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 September sebagai tarikh sebutan semula kes.
Dalam sebutan berasingan, pasangan kembar Ahmad iaitu Mohammad, 30, yang juga bapa saudara kedua-dua mangsa tadi, turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan perbuatan luar tabii terhadap anak saudaranya yang berusia enam tahun.
Tertuduh yang juga penganggur itu dituduh dengan sengaja menggunakan kekerasan jenayah terhadap anak saudarannya yang berusia enam tahun dengan melakukan perbuatan itu di lokasi sama pada masa dan tarikh yang tidak diketahui.
Bagi pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Haslina membenarkan Mohammad diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Sept untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan terhadap kedua-dua tertuduh dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurdiyanah Mohd Nawawi. – BERNAMA
0 komentar:
Posting Komentar